Tuesday, June 26, 2012

Hari ke Enam: Gua Hira' di Jabal Nur

" Bacalah dengan (menyebut) nama Rabb mu Yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Rabbmu-lah Yang Paling Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan qolam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
Surah Al-Alaq: 1-5


Jadual hari ke enam agak padat. Usai Isya' dari Masjidil Haram dan seterusnya makan malam di hotel,kami berhimpun di Lobi untuk Ziarah Pilihan, mendaki Jabal Nur untuk melihat Gua Hira'. Berketinggian 2500 kaki, sekitar (+/-)800 meter tinggi.

Alhamdulillah, di izinkan Allah dengan di kurniakan nikmat kesihatan mental dan fizikal  di Malaysia lagi. Bagi aku, kali terakhir mendaki puncak yang di tawan adalah Gunung Angsi di Negeri Sembilan berketinggian lebih kurang sama dengan Jabal Nur ini.

Semoga aku dan suami juga jemaah yang lain bakal tiba di puncak Jabal Nur dengan selamat, ameen.

Di kaki bukit Jabal Nur. Ianya adalah kawasan penempatan orang Arab. Namun terdapat kedai di sini. Mendengar taklimat dari mutawwif sebelum mula mendaki.
Menurut mutawwif, 45 minit paling cepat boleh sampai ke puncak Jabal Nur. Untuk turun 2 saat pun boleh sampai bawah. Macamana ? Terjun ! Kata Ustaz Husin, Mutawwif kami... Oh Tidak !

Sesungguhnya, tiada sebarang kelebihan yang tertentu untuk mendaki Jabal Nur ini, melainkan melihat tempat di mana wahyu pertama di turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Ketika itu baginda berusia lingkungan 40 tahun, dimana ketika itu Baginda ber-uzlah dan peristiwa terjadi di dalam bulan Ramadhan (Sesetengah menyatakan pada hari Isnin, tanggal 21 Ramadhan).

Dalam hati berdoa, Rabbi Yassir Wala Tu'assir !

Kadang-kadang terlintas di fikiran, kenapa aku dan suami mahu mendaki Gua Hira' ni ?

Kalau di hitung-hitung masa sekitar 3 jam yang di luangkan untuk mendaki Jabal Nur ini, boleh di isi dengan pelbagai ibadah lain di Masjidil Haram. Kalau di hitung menggunakan kalkulator tamak pahala, sekali solat dapat 100,000 pahala. Sekali tawaf sunat, pahala menyamai 1 umrah, qiamulail dan iktikaf menjanjikan pahala yang berlipat kali ganda !

Jadi, kenapa masih mahu mendaki Jabal Nur ?

Berehat seketika menghilangkan lelah. Di kejauhan sana, kelihatan Tower Clock yang terletak behadapan dengan Pintu King Abdul Aziz, dan cahaya yang terang di bawah nya itu lah Masjidil Haram. Ianya kelihatan jelas meskipun semua sedia maklum, Masjidil Haram terletak di kawasan lembah yang paling rendah ! Maha Suci Allah yang menjadikan tiap-tiap sesuatu. Betapa makmurnya Makkah, berbanding di saat Nabi Ibrahim meninggalkan anak nya yang tersayang Nabi Ismail juga isterinya yang tercinta Siti Hajar, yang mana tatkala itu hanya padang pasir dan bukit batu yang menemani mereka berdua.  

Berbekal kan sebotol air zam-zam, pendakian di mulakan. Turut mendaki bersama kami adalah jemaah dari Turki dan Iran. Tiada lampu di sini. Namun, perjalanan menerusi anak tangga yang di bina oleh orang Turki memudahkan perjalanan kami, walau pun ada ketika nya kecondongan cerun menghampiri 90 darjah !

Terima kasih dengan adanya handrailing yang banyak membantu. Semoga orang yang membina denai perjalanan ini beroleh barokah dan rahmat Allah s.w.t, ameen.

Pertengahan bulan Rejab menyaksikan bulan penuh membiaskan cahaya nya ke atas Jabal Nur yang seolah-olah turut bercahaya ini. Subhanallah ! Dari kaki bukit, suasana perkampungan arab, sampai ke kawasan gunung seterusnya ketika mendaki, lafaz zikrullah, tasbih, tahlil dan tahmid menjadi teman.

Ketika keletihan, berhenti seketika hingga ada kalanya kami mendaki sehingga hampir merangkak dengan menyentuh setiap batu yang ada di situ. Mungkin Rasulallah juga pernah menyentuh batu yang sama ini. Semoga kami beroleh keberkatan nya lantas mengimani dengan sesungguh-sungguhnya Rukun Iman dan Rukun Islam !

Inilah jawapan, kenapa mahu mendaki Jabal Nur.

Berlumba bersama Saidatina Khadijah, menguatkan keazaman untuk tiba di Gua Hira'. Kelihatan Jemaah lain di belakang.

Dalam perjalanan menuju puncak, selepas beberapa kali berhenti di setiap kawasan wakaf yang di sediakan, akhirnya kami tiba di  puncak ! Alhamdulillah. Rupanya masih ramai yang belum sampai. Untuk sampai ke Gua Hira, kami kena menuruni bukit sedikit. Gua Hira' itu bukan di puncak bukit rupanya ! Di puncak bukit hanya terdapat peniaga arab menjual air dan cenderamata.

Terbayang bagaimana Ummul Mukminin, Saidatina Khadijah binti Khuwaileed dengan penuh kasih meniti perjalanan ke puncak Jabal Nur ketika menghantar bekalan makanan buat suami nya yang tercinta, RasulAllah s.a.w.

Bukan kah pada saat turun wahyu pertama Baginda Rasul berusia sekitar 40 tahun. Dan bukan kah ini bererti Ummul Mukminin, Saidatina Khadijah berusia sekitar 55 tahun ?

Maha Suci Allah, maka di malam pertengahan Rejab 1433H ini, aku berlumba di denai perjalanan Ummul Mukminin. Semoga aku mencontohi Saidatina Khadijah dalam menyantuni suami ku, inshaAllah, ameen !

Biar lah aku yang berada di dalam doa suami ku, "Rabbana Hablana Min Azwajina, Wa zurriyyatina, qurrata a'yun"

Memori di Jabal Nur.


Di sana, kami membayangkan. Dimana agak nya nabi duduk dan tidur ? Di mana kah tempat nya di saat Jibril memeluk Nabi seraya berkata 'Iqra'. Hanya tasbih, tahlil dan tahmid yang menggambarkan kesyukuran kami di saat itu.

Lantas kami segera turun, kerana di bayangi Jemaah dari Turki dan Iran yang berbadan besar dan bakal tiba. Cukup menggusarkan. Bagi mengelakkan kesesakan di Puncak Jabal Nur kami segera beransur turun. Tambahan pula kami mahu tiba di hotel sebelum 2 pagi, untuk melelapkan mata seketika, sebelum kembali untuk beribadat di Masjidil Haram pagi itu.

Ketika turun, terbayang bagaimana keadaan Nabi yang sedang di dalam ketakutan berlarian turun lantas mendapatkan Saidatina Khadijah seraya berkata 'Selimuti aku ! Selimuti aku !' Lantas, Saidatina Khadijah mententeramkan Baginda.

Kami tiba di hotel sekitar jam 1.30 pagi. Sahabat lain sedang lena di buai mimpi. Penggera di telefon bimbit di set pada pukul 2.30 pagi. Kerana seboleh nya, kami mahu berada di dalam Masjid sebelum azan subuh pertama berkumandang !

Nampak seolah-olah terlalu gila beribadat. Namun begitu lah rutin nya sepanjang kami di Tanah Haram ini. Purata jam waktu tidur malam kami hanya lah sekitar 2 jam setiap malam. Bukan kami saja, begitu juga lah keadaan nya Jemaah yang lain itu ! Ajaib nya Mekah, kami tidak pernah rasa lelah !

No comments:

Post a Comment