Friday, August 20, 2010

Catatan Seorang Isteri

Kereta masih berlegar-legar di kawasan perumahan Taman Puncak Jalil. Kali pertama memasuki kawasan perumahan ini. Mencari rumah kerabat yang tidak pernah diketahui, rupa-rupanya berada di sini.

Setelah beberapa lama mencari, akhirnya sampai ke destinasi. Perkarangan rumah agak sunyi. Tiada kelibat anak-anak kecil. Kerana ramadhan barangkali, bisik hati kecil ku.
Tambahan pula, pastinya tuan rumah sekeluarga masih berduka – lara di atas pemergian orang yang tersayang.

“Assalamualaikum” ucapan di sulami doa sebagai tanda kehadiran, kami para tetamu.

Lantas, kehadiran kami segera di sedari oleh tuan rumah. Seketika, suasana ramadhan terasa seakan syawal, biarpun air mata mula membasahi wajah tuan rumah. Seakan mengerti, untuk apa kehadiran kami di sini. Salam dihulur dan rangkulan ikhlas sesama muhrim, seakan menyatakan betapa kedukaan itu mahu dikongsikan, dizahirkan. Sesungguhnya kepiluan itu turut membadai jiwa ku. Meskipun, aku bukan bersaudara langsung dengan keluarga ini.

Suasana hening memagut resah tangkai hati ini. Ku renung wajah kakak sepupu yang baru kehilangan suami. Ada garis-garis kesedihan di wajah yang cuba di ceriakan, menyambut ketibaan kami. Sungguh tabah dia, luahan hatiku.

Perbualan yang panjang. Mengkisahkan semula saat-saat akhir pemergian suami nya yang tersayang. Hati meruntun pilu di saat kisah-kisah di perdengar kan. Titis demi titis airmatanya tumpah jua.

‘Lakonan kakak dengan abang dah habis di atas pentas dunia ni dik. Tinggal kakak saja sekarang. Abang dah selamat di sana.’

Sesungguhnya, di saat kata-kata ini dilafaskan, airmata ku turut bergenang. Hanya menunggu detik untuk menuruni pipi. Pandangan ku lempar jauh-jauh. Ke kawasan perbukitan belakang rumah. Ku tarik nafas dalam-dalam, sebolehnya tidak mahu airmata ini turut tumpah, kerana airmata ku ini, akan sekadar menambah kepiluan tuan rumah sahaja.

Kelihatan ibu mertuaku, kakak ipar, suami ku dan biras ku, masing-masing pilu. Mereka lebih kenal dan rapat berbanding aku. Pastinya mereka lebih sedih berbanding aku. Sesekali, perbualan di alihkan ke topik lain, bagi mengelakkan dibuai perasaan sedih yang melampau di ramadhan yang penuh rahmat ini.

Sampai di saat kami harus pulang. Semua sudah siap bersalam-salaman. Dan entah bagaimana, aku adalah yang terakhir untuk bersalaman dengan kakak. Yang lain telah pun keluar dan masuk ke dalam kereta. Sebagaimana yang lain, ku nyatakan harapan agar kakak terus tabah dan sabar dan berdoa semoga roh suaminya di tempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan mendapat syafaat kelak, inshaAllah.

Dengan tidak semena-mena, kakak merangkul kembali tubuhku. Agak lama, beserta sendunya. Seraya melepaskan tubuh ku, dia berkata;

Kakak ni sebenarnya, terkilan. Perginya abang tu , kakak tak perasan bila masanya. Kalau lah kakak tahu, mesti kakak akan terus duduk di samping dia, sepanjang malam, urut badan dia..

Aku terpana seketika. Begitu luhurnya cinta seorang isteri pada suaminya. Cintanya mengiringi suami ke liang lahat, dan tiada hentinya cinta itu dan inshaAllah, akan bertemu di syurga ilahi, amen.

Sesungguhnya Allah itu Maha Mengasihani. Ibrahnya Ramadhan kali ini, hati ku di jentik pilu. Barangkali dengan kehilangan yang di alami oleh kakak, Allah rupa-rupanya sedang menegurku. Diatas kealpaan ku. Betapa kurangnya aku bersyukur di atas segala kurniaan mu. Kurniaan nikmat kerana masih mempunyai seorang insan yang bernama suami, pada ketika ini. Syukur ku pada mu Ilahi…

Keampunan ku pohon dari mu suamiku.. dan ku panjatkan doa agar aku menjadi isteri yang mensyukuri nikmat dan terus menjadi isterimu hingga ke syurga Ilahi yang kekal abadi.

Ameen.